Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu menghapuskan
pemberian biasiswa kepada penerima pinjaman itu yang mendapat keputusan
cemerlang di dalam pendidikan.
Matlamat asal pemberian biasiswa adalah untuk membantu
pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga miskin dan memerlukan bantuan
untuk menyambung pendidikan.
Apa yang dilakukan oleh PTPTN ketika ini dilihat tidak adil
kepada golongan pelajar miskin kerana pelajar dari latar belakang keluarga
berada juga boleh menerima bantuan biasiswa hanya dengan mencatat keputusan
cemerlang.
PTPTN harus kembali kepada matlamat asal, iaitu fokus kepada
pinjaman sahaja dan pemberian biasiswa pula perlu diuruskan oleh agensi lain
bertujuan supaya berlaku keadilan kepada pelajar dari keluarga susah dan
miskin.
Pelajar daripada keluarga kaya ramai yang memperolehi
keputusan yang cemerlang kerana ibu bapa mereka mampu menyediakan kemudahan
pembelajaran yang baik. Justeru itu tidak wajar mereka menerima biasiswa kerana
golongan ini sangat mampu membayar pinjaman.
Kerajaan mestil mengembalikan semula matlamat asal pemberian biasiswa,
iaitu membantu golongan yang benar-benar memerlukan, yang rata-ratanya tinggal di kawasan ceruk dan hulu jauh dari kemudahan pendidikan 'bertaraf antarabangsa'.
