Menggunakan rasional akal dalam menafsir agama dengan alasan
membuka ruang dimensi berfikir semakin berleluasa di tanah air kita.
Dengan terjahan dunia langit terbuka kelompok ini dengan
aktif menebarkan sikap serta pandangan mereka, bahkan secara terbuka mengadakan
bantahan awam untuk berekspresi akan tuntutan-tuntutan mereka.
Mereka secara terbuka menyerang institusi agama negara ini
serta berkolaborasi dengan sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan mereka.
Terjahan kepada Islam berlangsung sepanjang zaman dan
menuntut umat Islam berdada dengan penyelewengan ini.
Antara kebobrokan yang kian mendapat tempat dalam kalangan
umat Islam yang jahil ialah fahaman Islam Liberal, menyusup secara diam dan
pantas dalam akar ummah di pelbagai posisi.
Isu ini semakin menjadi hangat dengan pihak berkuasa agama
melarang Wacana Mustapha Akyol, seorang Sarjana Turki yang ingin menebarkan
fahaman agamanya kepada rakyat negara ini, kita melihat bagaimana kelompok
Islam Liberal negara ini bersungguh-sungguh mempertahankan kewajaran cara fikir
mereka.
Ciri-ciri fahaman Islam Liberal
Mereka menganut Fahaman Pluralisme iaitu fahaman yang
menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka. Orang Islam tidak
boleh meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar.
Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut
Islam di Malaysia
Islam Liberal di Malaysia telah membuat desakkan agar
penganut Islam diberi hak untuk murtad dari agama (Islam) tanpa sebarang
tindakan undang-undang dan tanpa tertakluk dengan keputusan Mahkamah Syariah.
Bagi kelompok ini, mereka berhujah bahawa hak untuk murtad
menurut mereka adalah kebebasan beragama yang juga diakui oleh al-Quran. “Tidak
ada paksaan dalam agama.” (al-Baqarah: 256)
Tafsir yang muktabar pula menyatakan, ayat di atas hanya
terpakai bagi orang bukan Islam, yakni mereka tidak harus dipaksa untuk
menganut Islam kecuali dengan kerelaan sendiri.
Adapun bagi penganut Islam, maka mereka wajib beramal dengan
segala tuntutan Islam termasuk tuntutan memelihara akidah dan iman.
Ayat-ayat al-Quran perlu ditafsir semula agar selari dengan
peredaran zaman.
Menurut golongan Islam Liberal, al-Quran perlu ditafsir
semula tanpa terikat dengan tafsiran Ulama terdahulu.
Tafsiran Ulama terdahulu telah jauh ketinggalan dan tidak
sesuai lagi untuk zaman sekarang.
Dalam mentafsir al-Quran tidak perlu terikat dengan tafsiran
Rasulullah, para Sahabat dan Ahli-ahli Tafsir terdahulu. Memadai menurut mereka
tafsiran itu menepati logik akal dan rasional.
.
Mempertikai Syariat Allah dan hukum-hakam fiqh dengan hujah
rasional.
Pada pandangan mereka hukum Syariat Islam adalah ciptaan
Ulama dan Fuqaha.
Oleh itu, mereka menganggap Syariat Islam tidaklah suci
secara sepenuhnya dan ia terdedah kepada penilaian semula dan kritikan termasuklah
Hukum-hakam Syariat.
Antara Hukum-hakam Syariat yang menurut pandangan mereka
perlu dinilai semula ialah:
- Hukum Faraid yang tidak sama rata antara
lelaki dan wanita;
- Keharusan poligami bagi lelaki
- Kewajipan bertudung kepala ke atas wanita
- Hukuman bunuh ke atas orang murtad
- Hukum jenayah Hudud yang menurut mereka adalah
pengaruh budaya Arab Jahiliyah
- Larangan wanita daripada menjadi pemimpin
termasuklah dalam solat
- Hak mutlak suami untuk mencerai isteri
- Larangan perkahwinan antara orang Islam dan
bukan Islam; dan
- Undang-undang moral agama yang dikatakan
melanggar hak asasi dan kebebasan manusia.
Demi menjayakan hasrat mereka itu maka mereka menyeru kepada
pembaharuan fiqh secara bebas tanpa perlu merujuk kepada Ulama dan disiplin
ilmu Usul Fiqh.
Golongan Islam Liberal menolak autoriti Ulama dalam bidang
agama. Mereka amat menekankan kebebasan berpendapat bahawa sesiapa sahaja
berhak bercakap tentang agama.
Menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama
Golongan Islam Liberal menentang penguatkuasaan
undang-undang moral berteraskan agama kerana menurut mereka undang-undang
tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia.
Pasca PRU14 ini akan menyaksikan banyak tuntutan kelompok
pendukung Islam Liberal dan Pluralisme agama akan digemakan. Riak-riak
kepongahan mereka semakin menyerlah, kerana turut merasakan mereka turut
memberikan sumbangan kepada kemenangan PH baru-baru ini.
Umat Islam mestilah mengambil cakna perkembangan semasa yang
berlaku, menularkan fahaman neo-Muktazilah yang akan mengganggu kelestarian
agama Islam dan penganutnya.
Ahzab moden sedang mengepung umat ini daripada segenap
penjuru, dengan senjata fitnah mereka.
Sedar dan bangkitlah wahai umat!