Wednesday, 23 January 2019

Ancaman Islam Liberal

Menggunakan rasional akal dalam menafsir agama dengan alasan membuka ruang dimensi berfikir semakin berleluasa di tanah air kita.

Dengan terjahan dunia langit terbuka kelompok ini dengan aktif menebarkan sikap serta pandangan mereka, bahkan secara terbuka mengadakan bantahan awam untuk berekspresi akan tuntutan-tuntutan mereka.

Mereka secara terbuka menyerang institusi agama negara ini serta berkolaborasi dengan sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan mereka.

Terjahan kepada Islam berlangsung sepanjang zaman dan menuntut umat Islam berdada dengan penyelewengan ini.

Antara kebobrokan yang kian mendapat tempat dalam kalangan umat Islam yang jahil ialah fahaman Islam Liberal, menyusup secara diam dan pantas dalam akar ummah di pelbagai posisi.

Isu ini semakin menjadi hangat dengan pihak berkuasa agama melarang Wacana Mustapha Akyol, seorang Sarjana Turki yang ingin menebarkan fahaman agamanya kepada rakyat negara ini, kita melihat bagaimana kelompok Islam Liberal negara ini bersungguh-sungguh mempertahankan kewajaran cara fikir mereka.

Ciri-ciri fahaman Islam Liberal

Mereka menganut Fahaman Pluralisme iaitu fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka. Orang Islam tidak boleh meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar. 

Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia

Islam Liberal di Malaysia telah membuat desakkan agar penganut Islam diberi hak untuk murtad dari agama (Islam) tanpa sebarang tindakan undang-undang dan tanpa tertakluk dengan keputusan Mahkamah Syariah.

Bagi kelompok ini, mereka berhujah bahawa hak untuk murtad menurut mereka adalah kebebasan beragama yang juga diakui oleh al-Quran. “Tidak ada paksaan dalam agama.” (al-Baqarah: 256)

Tafsir yang muktabar pula menyatakan, ayat di atas hanya terpakai bagi orang bukan Islam, yakni mereka tidak harus dipaksa untuk menganut Islam kecuali dengan kerelaan sendiri.

Adapun bagi penganut Islam, maka mereka wajib beramal dengan segala tuntutan Islam termasuk tuntutan memelihara akidah dan iman.

Ayat-ayat al-Quran perlu ditafsir semula agar selari dengan peredaran zaman.

Menurut golongan Islam Liberal, al-Quran perlu ditafsir semula tanpa terikat dengan tafsiran Ulama terdahulu.

Tafsiran Ulama terdahulu telah jauh ketinggalan dan tidak sesuai lagi untuk zaman sekarang.

Dalam mentafsir al-Quran tidak perlu terikat dengan tafsiran Rasulullah, para Sahabat dan Ahli-ahli Tafsir terdahulu. Memadai menurut mereka tafsiran itu menepati logik akal dan rasional.

.
Mempertikai Syariat Allah dan hukum-hakam fiqh dengan hujah rasional.

Pada pandangan mereka hukum Syariat Islam adalah ciptaan Ulama dan Fuqaha.

Oleh itu, mereka menganggap Syariat Islam tidaklah suci secara sepenuhnya dan ia terdedah kepada penilaian semula dan kritikan termasuklah Hukum-hakam Syariat.

Antara Hukum-hakam Syariat yang menurut pandangan mereka perlu dinilai semula ialah:
  • Hukum Faraid yang tidak sama rata antara lelaki dan wanita;
  • Keharusan poligami bagi lelaki
  • Kewajipan bertudung kepala ke atas wanita
  • Hukuman bunuh ke atas orang murtad
  • Hukum jenayah Hudud yang menurut mereka adalah pengaruh budaya Arab Jahiliyah
  • Larangan wanita daripada menjadi pemimpin termasuklah dalam solat
  • Hak mutlak suami untuk mencerai isteri
  • Larangan perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam; dan
  • Undang-undang moral agama yang dikatakan melanggar hak asasi dan kebebasan manusia.
Demi menjayakan hasrat mereka itu maka mereka menyeru kepada pembaharuan fiqh secara bebas tanpa perlu merujuk kepada Ulama dan disiplin ilmu Usul Fiqh.

Golongan Islam Liberal menolak autoriti Ulama dalam bidang agama. Mereka amat menekankan kebebasan berpendapat bahawa sesiapa sahaja berhak bercakap tentang agama.

Menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama

Golongan Islam Liberal menentang penguatkuasaan undang-undang moral berteraskan agama kerana menurut mereka undang-undang tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia.

Pasca PRU14 ini akan menyaksikan banyak tuntutan kelompok pendukung Islam Liberal dan Pluralisme agama akan digemakan. Riak-riak kepongahan mereka semakin menyerlah, kerana turut merasakan mereka turut memberikan sumbangan kepada kemenangan PH baru-baru ini.

Umat Islam mestilah mengambil cakna perkembangan semasa yang berlaku, menularkan fahaman neo-Muktazilah yang akan mengganggu kelestarian agama Islam dan penganutnya.

Ahzab moden sedang mengepung umat ini daripada segenap penjuru, dengan senjata fitnah mereka.

Sedar dan bangkitlah wahai umat!


Blog Archive / Blog Arkib

LimkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...