Thursday, 19 December 2013

Fenomena Anugerah Menyambut Pelajar Cemerlang


Gambar ini cuma hiasan sahaja, tiada kena mengena dengan tulisan di bawah.
Keputusan PMR 2013 baru diumumkan hari ini. Tahniah diucapkan kepada yang berjaya dan bagi yang gagal, bukan bermakna masa depan akan menjadi gelap gelita. Namun trend menyambut kejayaan  PMR akhir-akhir ini amat membimbangkan dan sungguh tidak wajar. Sebaik sahaja keputusan PMR diumumkan, satu majlis pengumumkan akan diadakan di kebanyakkan sekolah, PPD,JPN malah di peringkat Kementerian Pelajaran.

Pada masa ini, pengetua akan tersenyum manis, sama ada dibuat-buat atau ‘asli’ kerana pelajar cemerlang ini telah mengharumkan nama sekolah dan secara tidak langsung akan mengharumkan dirinya sendiri semoga diangkat menjadi pengetua cemerlang ......tak gitu?

Kebiasaan sambutan diadakan untuk meraikan pelajar yang mencatat keputusan semua A atau setaraf. Para pelajar ini akan dijemput ke pentas bersama-sama ibu bapa dan pengetua sekolah berkenaan dan kalau bernasib baik Pegawai PPD atau Pengarah Pelajaran Negeri. Pelajar-pelajar ini diraikan bak ‘wira. Namun bagai mana pula dengan pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik? Di mana mereka ini ditempatkan?

Selama ini di dalam kita meraikan kejayaan sekolah, pelajar yang gagal umpama sampah dicampak ke dalam longkang. Mereka dilayan seolah-olah telah ‘mencemar’ nama baik sekolah dan guru-guru di sekolah berkenaan. Mereka dikatakan menjadi penyebab ranking sekolah jatuh dan 'membusukkan' seluruh warga sekolah berkenaan.

Sebagai pendidik yang dikatakan 'terpelajar', apakah yang ada di dalam pemikiran mereka ini? Jika mereka mempunyai anak senasib ‘pelajar gagal’ ini, apakah perasaan mereka? Adakah wajar anak mereka ini dianak tirikan dan dipandang hanya sebelah mata sahaja? Apakah ianya boleh menjadi motivasi kepada anak-anak mereka apabila anak-anak mereka belajar di tingkatan 4 dan 5?

Walaupun ada 'bijak pandai' mendakwa, ia akan menjadi pemangkin meninggikan semangat untuk ‘pelajar gagal’ supaya lebih berusaha, tetapi ‘peristiwa’ ini sedikit sebanyak akan meninggalkan ‘parut’ di sudut hati kecil. Sepatutnya, semua pelajar ‘wajib’ diraikan bersama-sama pada hari tersebut sekurang-kurangnya sama-sama dijemput ke pentas atau setidak-tidaknya bergambar beramai-ramai bersama-sama mereka yang cemerlang.

Semua pelajar sama ada cemerlang atau tidak merupakan generasi masa depan yang akan mewarisi negara di dalam pelbagai bidang. Kegagalan mereka pada hari ini tidak perlu dijadikan ukuran dan terus menghukum mereka dengan membina tembok pemisah membanding-bandingkan di khalayak antara seorang pelajar dengan pelajar yang lain berdasarkan prestasi mereka.

Banyak contoh di luar sana, PMR bukanlah penentu kejayaan pelajar. Seorang pelajar itu ‘lambat’ atau ‘cepat’ di dalam menerima ilmu pengetahuan merupakan corak di dalam kemampuan setiap pelajar. Setiap pelajar memiliki akses pendidikan yang berbeza terutama penghidupan harian yang melingkungi mereka.

Pemimpin sama ada di peringkat sekolah hingga ke kementerian harus memikirkan semula kewajaran sambutan meraikan kejayaan PMR yang sudah menjadi kebiasaan begini. Ubahlah cara tradisi keraian ini dengan 'memasukan' pelajar yang tidak berjaya bersama-sama meraikan kejayaan yang telah dicapai oleh sekolah mereka. 

Janganlah ada walaupun sekelumit dendam kesumat dari pihak pengurusan sekolah atau dari guru-guru yang gagal menjawat jawatan ‘cemerlang’ disebabkan ‘pelajar bodoh’ ini dengan meminggirkan dan mengasingkan mereka di majlis-majlis berkaitan anugerah kecemerlangan. Rezeki, ajal dan maut semua di tangan Allah, bukan di tangan manusia.


Kesian pula tengok pelajar-pelajar dan guru-guru di kelas-kelas intergrasi pendidikan khas, atau pemulihan khas. Mereka ada tapi macam tak wujud, sebab mereka seolah-olah tidak signifikan dengan pencapaian keputusan akademik sekolah mereka. Al maklum, mereka bukan guru yang 'gelemer' sebab mengajo kanak-kanak 'terencat'.....sekian.

Blog Archive / Blog Arkib

LimkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...