Tekanan ekonomi dengan kenaikan harga barang secara tidak
munasabah masih menghimpit kehidupan rakyat golongan sedarhana dan bawahan.
Jika lihat ‘di belakang’, kita akan nampak siapa dalang dan
semua ini ‘mainan’ siapa! Selama ini kita secara individu atau berpersatuan bagaikan
‘anjing menyalak bukit’ tiada kesan langsung.
Dengan alasan kos meningkat, maka semua peniaga pelbagai
peringkat akan menaikan harga barang dengan harga yang tidak masuk dek akal.
Pihak mana yang telah menyiasat sama ada benar-benar kos yang
didakwa telah meningkat atau tidak? Pastinya kita hanya percaya secara membuta
tuli apa sahaja dakwaan mereka (peniaga).
Tahukah kita, pengurusan kilang dan pemborong, pengedar dan
peniaga runcit barang-barang kawalan mendapat subsidi dari kerajaan berjumlah
berbilion ringgit setahun. Tetapi kenapa pula peniaga yang mengawal harga dan
harga barang tetap melambung tinggi? Bukankah itu satu pembaziran wang rakyat
dengan memberi subsidi ‘percuma’ kepada mereka?
Di sini Pak Menteri dan badan-badan berwajib di bawahnya perlu
lebih bertanggungjawab. Mereka kena periksa dan siasat dakwaan tersebut dan
ambil tindakan yang sewajarnya. Bukannya hanya sekadar ‘AMARAN’ dan berakhir
dengan ‘AMARAN’ walaupun Pak Menteri silih berganti.
Siapakah yang memanipulasi harga barangan? Peliknya pelbagai
subsidi telah dikeluarkan kerajaan berbilion ringgit terhadap barangan kawalan
termasuk petrol, tetapi harga tetap naik!
Siapa sebenarnya yang memutuskan harga sesuatu barangan itu
naik, kerajaan atau peniaga? Siapa pula yang lebih berkuasa untuk menyekat
kenaikan harga setiap barang kawalan, kerajaan atau peniaga? Siapakah yang
mengawal ekonomi negara, kerajaan atau peniaga?
Selama ini rakyat terseksa dek kenaikkan harga barang
terkawal sesuka hati oleh pemborong dan rantaiannya.
Pak Menteri dan agensi di bawah tanggungjawabnya perlu
menggunakan undang-undang sedia ada untuk ‘mengajar’ perbuatan kiasu dan tamak
haloba ke atas golongan ini. Jangan membiarkan undang-undang yang berkaitan
terperap di dalam buku sahaja.
Sudah sampai masa, jangan banyak beretorik tetapi banyakkan
tindakan penguatkuasaan. Kerajaan boleh buat apa sahaja untuk kebaikkan
mejoriti rakyat, bukan berbuat apa sahaja untuk kebaikan menoriti rakyat.
