Lepas habis aku baca buku karangan Ahmad Faisol ni, aku nak
sentuh sikit pasal kaki bodek berdasarkan pengalamanku di sepanjang 27 tahun
aku bergelar panjawat awam.
Kaki bodek merujuk kepada sikap seseorang yang suka membodek
pihak yang dibodek dengan harapan mendapat laba atau mendapat ruang keselesaan
atau jaminan keselamatan dari hasil bodekan.
Bodek?
Kejadah apa bodek ni?
Bodek ini lebih kurang sama macam mengampu.
Saudara-mara kepada ‘kaki bodek’ ialah ‘kaki kipas’, ‘kaki
ampu’ dan aku tambah lagi satu: ‘kaki jilat.’
Motifnya sama, iaitu nak bodek!
Pada siapa?
Tentu pada yang lebih berautoriti!
Apa kesan orang yang dibodek?
Bagi yang tak de maruah, sama-sama menjilat!
Konotasi ‘kaki jilat’ ini aku rasa lagi cun, lagi
provokatif.
Bayangkan, kaki jilat ini bukan menjilat ‘kaki’ saja
kerjanya, tapi kebarangkalian untuk menjilat bahagian lain juga amatlah tinggi.
Adapun, beberapa minggu lalu, aku ada berbual dengan rakan seoffice tentang
pengalaman masing-masing berkaitan kes bodek ni.
Setelah merayau dari satu cerita ke satu cerita, tak
pasal-pasal, tersentuh pula tentang kesah pengalamannya kaki jilat ni di
office.
Nak cepat ‘naik atas’ sekarang ni kena jadi penjilat tegar.
Penjilat boss punya 1001 agenda tersebunyi.
Membodek, mengipas, mengampu atau menjilat semuanya adalah
sama sekali bertentangan dengan fitrah manusia.
Mereka sebenarnya sedang mengalami ‘penyakit kronik’.
Manusia waras mana mungkin merendahkan martabatnya dengan
kerja-kerja membodek, mengipas, mengampu, menjilat.
Kaki bodek ni berlaku dek kerana mereka
seakan tak yakin dengan kemampuan diri sendiri.
Lepas itu mengharapkan pula pihak yang ingin dibodek agar
menjadi pemberi rahmat kepada mereka.
Sedangkan orang yang berfikir waras sepatutnya tak takut mengutarakan
keintelektualan mereka demi kepentingan unit atau organisasi.
Hasil yang dituai dari konsep menjilat ni, sebenarnya umpama
najis mukhalazah.
Kerana mahu selamat, markah tinggi, dan suka mengipas,
mereka semua jadi pengecut, jadi pak turut.
Bersandarkan pengalaman, tiada sesiapa pun yang bergelumang
dengan taktik membodek ini berani mencabar idea atau pandangan yang dilontarkan
oleh kepimpinan.
Hitam kata pemimpin, hitam lah kata mereka.
Dan apabila mereka jadi pemimpin pula, mereka juga akan
memerlukan khidmat kaki bodek.
Untuk apa?
Memudahkan kerja.
Tak de sesiapa yang 'berani melawan taukey'.
Proses ini berulang seperti roda!
Membodek juga selalunya kerap berselindung di sebalik tabir
kepatuhan.
Nampak macam patuh, macam bagus, tapi sebenarnya ada maksud
tersirat.
Ini juga satu kontradiksi kepada elemen kejujuran.
Senang cerita, membodek ini adalah klon kepada penipuan.
Sambil tak menafikan bahawa patuh itu sifat yang mulia.
Di alam kerjaya, awas!
Kepatuhan membabi buta tak mustahil jadi penyebab perkerja
terus diuliti rasa bebal dan jumud yang akhirnya keharmonian di dalam sesebuah
organisasi akan hancur.
Jika ditinjau sekali lagi, amat malang, gejala bodek telah
menjadi duri dalam daging yang dirayakan dalam sebahagian budaya kontemporari
di segenap institusi negara ini.
Bagi golongan yang lebih berautoriti, ketiadaan maruah pada
diri sendiri disebabkan kewajaran 'menghalalkan' perkara ini, walau di
mana-mana pun, situasi ini pastinya akan disambut rasa senang dengan hati
terbuka.
Tujuannya adalah untuk 'mengawal' tingkah laku sumber di
bawah kawalannya.
Zaman dulu, kalau kau kuat, kau adalah KING.
Tapi zaman sekarang, lain Bro.....
Zaman melenium ni, kau kuat bodek, pandai belai, kuat
menjilat, pandai cium mulut, pandai gosok.....
Kau lah mak bapak segala KING!
Coretan ini tiada kaitan langsung kepada yang hidup dan yang
telah mati!