Palestin: Usaha masyarakat dan juga organisasi yang tidak pernah henti telah menampakkan kesan, hasil daripada kempen strategik iaitu Gerakan Boikot (Boycotts), Henti (Divestment), dan Sekat (Sanctions) (BDS) terhadap semua perkara yang berkaitan dengan Israel.
Menurut portal BDS Movement, antara kejayaan terbesar hasil daripada Gerakan BDS adalah penutupan kilang haram yang menjual mesin minuman jenama SodaStream milik Israel yang terletak di penempatan haram Israel, penarikan diri syarikat telekomunikasi terbesar di Perancis, Orange dan syarikat multinasional Veolia daripada pasaran Israel dan penarikan pelaburan oleh para pelabur, pihak kerajaan dan rangkaian bank daripada syarikat-syarikat yang disasarkan oleh Gerakan BDS seperti George Soros, Yayasan Bill Gates dan dana pencen kerajaan di Sweden, Norway dan lain-lain.
Syarikat bekalan air Israel, Mekorot yang sebelum ini memotong bekalan air ke sebahagian besar kawasan Tebing Barat yang diduduki Israel dan menyebabkan penduduk Palestin tidak mempunyai air bersih sepanjang bulan Ramadan tahun lepas juga hilang kontrak perjanjian dengan negara Brazil, Argentina, Portugal dan Netherland hasil daripada kempen Gerakan BDS.
Presiden Gerakan BDS Malaysia, Prof Nazari Ismail berkata, buat masa ini Gerakan BDS Malaysia memfokuskan BDS terhadap 5 syarikat utama yang memainkan peranan yang jelas dan langsung dalam membantu Israel melanggar undang-undang antarabangsa. Maka, rakyat Malaysia boleh menunjukkan sokongan dengan memboikot 5 syarikat ini.
Buat masa ini, Gerakan BDS Malaysia telah mensasarkan BDS kepada 5 syarikat iaitu Caterpillar dan Hyundai Heavy Industries (HHI) yang membekalkan jentera berat yang memusnahkan rumah-rumah rakyat Palestin untuk membina penempatan haram Israel, Hewlett Packard (HP) sebagai pembekal teknologi IT dan komputer kepada tentera, polis dan penjara Israel, G4S yang membekalkan teknologi keselamatan kepada tentera, polis dan penjara Israel dan Ahava, syarikat kosmetik yang mengaut keuntungan daripada mineral yang dicuri dari Laut Mati, kawasan milik Palestin yang dirampas secara haram sejak tahun 1967.
