Tuesday, 24 January 2017

Jangan sampai pemikiran kita dijajah persepsi

Ini adalah zaman persepsi. Masyarakat melihat semua perkara dalam persepsi masing-masing lantas membuat rumusan dan keputusan yang lebih banyak dipengaruhi oleh elemen emosi berbanding fikiran yang waras dan adil. Akibatnya keadaan menjadi kelam kabut dan mencetuskan pelbagai situasi panik.

Hakikatnya, sama ada persepsi baik mahupun negatif ia perlu melalui satu proses pertimbangan dan penilaian yang sewajarnya agar kita tidak membuat keputusan yang terburu-buru mahupun salah.

Keganasan persepsi sering dirujuk kepada tindak tanduk pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menaburkan pelbagai fitnah terutamanya dalam media baharu seperti media sosial yang lebih banyak menjurus kepada unsur negatif terhadap sesuatu isu, sesebuah organisasi mahupun individu seperti pemimpin negara.

Ia membabitkan usaha untuk memburukkan, mencemarkan atau menjatuhkan seseorang individu, kumpulan ataupun sesebuah organisasi untuk tujuan tertentu dengan mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Oleh kerana media sosial mula menjadi medium utama masyarakat, maka pihak yang melakukan keganasan persepsi ini menggunakan media baharu ini untuk melakukan aktiviti tidak bermoral. 

Pelbagai berita, maklumat, gambar, data dan fakta yang berbentuk andaian mahupun fitnah yang jelas belum tentu kesahihannya disebarkan dalam media sosial untuk mempengaruhi dan meracuni pemikiran dan minda masyarakat kita secara keseluruhannya.

Keadaan menjadi semakin parah dan kritikal apabila pengguna media sosial dengan pantas memviral maklumat yang mereka terima tanpa usul periksa menyebabkan fitnah tersebar luas. Akhirnya pengguna media sosial merumuskan fitnah ataupun maklumat palsu tersebut adalah benar dan sahih. 

Keganasan persepsi seperti ini jelas boleh merosakkan dan menghancurkan negara dan masyarakat. Ia membuka peluang untuk kita memandang serong kepada semua perkara tanpa menilai dengan sewajarnya.

Hari ini kita boleh lihat di media sosial betapa pengguna berdebat, menzahirkan pandangan dan pendapat masing-masing mengenai sesuatu isu yang dibangkitkan berdasarkan persepsi sendiri.

Rata-rata menjatuhkan hukuman sebelum sesuatu isu mahupun individu itu dibuktikan benar mahupun bersalah. Akibatnya perasaan benci dan marah yang dicetuskan oleh emosi yang terganggu mula mengambil tempat.

Hakikatnya kita tidak boleh lari dari kenyataan betapa kebanyakan daripada keganasan persepsi yang berlaku adalah bermotifkan kepentingan politik. Ini jelas dapat dilihat apabila adanya usaha-usaha untuk membunuh karakter mahupun memburukkan imej individu tertentu. Malah mutakhir ini kita dapat lihat betapa organisasi tertentu juga terus menjadi mangsa keganasan persepsi ini.

Berdasarkan kerosakan yang dicetuskan oleh keganasan persepsi ini adakah wajar perkara seumpama ini dibiarkan terus berleluasa? 

Keganasan persepsi dilihat satu terminologi baharu dalam kamus hidup masyarakat kita namun percayalah ia sudah lama bertapak dan cuma mutakhir ini dilihat semakin mengganas untuk tujuan dan kepentingan pihak-pihak tertentu yang jelas ada agenda tersembunyi.

Blog Archive / Blog Arkib

LimkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...