Desakan supaya kerajaan mengkaji semula undang-undang
syariah memberi petanda jelas, wujud satu gerakan tersusun untuk mengubah
identiti negara berteraskan Islam kepada liberal demokratik dan sekular.
Mereka yang mendesak perkara seumpama itu terlalu degil
untuk menerima hakikat Islam adalah agama persekutuan.
Mereka yang berfahaman liberal ini perlu faham bahawa
undang-undang syariah seharusnya diperkasakan, bukan dikaji semula.
Jelas bila dicadangkan pengukuhan rang undang-undang
syariah, mereka keras menolak, padahal ia selari dengan kehendak Perlembagaan
dan kehendak majoriti umat Melayu Islam negara ini.
Mahkamah syariah bukanlah satu institusi kelas kedua
sebaliknya ia adalah sebuah institusi yang mempunyai kedudukan tersendiri malah
telah wujud sebelum wujudnya sistem kehakiman sivil lagi.
Justeru, apabila Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman atau
memberikan apa-apa perintah yang berada dalam bidang kuasanya, ia seharusnya
dihormati oleh kesemua pihak.
Tindakan memperlekeh keputusan Mahkamah Syariah mencerminkan
kesalahfahaman masyarakat mengenai amalan dwi-perundangan di Malaysia.
Kedua-dua institusi kehakiman syariah dan sivil mengandungi
kuasa tersendiri dalam sebagaimana dalam perkara 74 Perlembagaan Persekutuan.
Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender
(JAG), yang mendesak kerajaan mengkaji semula undang-undang Islam, termasuk
melaksanakan moratorium terhadap hukuman sebat syariah merupakan usaha
berterusan untuk mengubah identiti Malaysia.
Pertubuhan liberal itu menganggap hukuman syariah bakal
menggugat konsep federalisme antara Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Apa yang diperkatakan mereka sebenarnya tiada langsung
kaitan untuk menggugat konsep federalisme antara Parlimen dan DUN.
Sayangi Malaysiaku. Ini bererti fahami konsep Perlembagaan,
sejarahnya, kontrak sosialnya, hak istimewa orang Melayu, Islam agama rasmi,
bahasa Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu.
Apa yang mereka sebutkan berniat jahat.
Inilah perjuangan COMANGO yang sentiasa mendesak agar inti
dan teras Islam di Malaysia ini dihapuskan.
Mereka sudah mencabar Perlembagaan dan desakan mereka
sekaligus bercanggah dengan tema Sayangi Malaysiaku.