Sunday, 27 November 2011

Panglima Salleh Si Parang Panjang

Semalam aku menziarahi kawan lamaku di Taman Perling JB. Kawanku ini baru sahaja beberapa hari keluar dari IJN kerana operasi jantung. 

Sambil berbual, mataku terpandang sebuah buku yang menarik perhatianku. Buku itu berjudul Memoir Abdullah CD (Bahagian Kedua) – Penaja Dan Pemimpin Rejimen Ke-10, terbitan SIRD tahun 2007. Sempat juga aku membelek-belek kandungan buku ini kerana niatku sebenarnya adalah ingin mengetahui siapakah Abdullah CD ni.



Buku ini sebenarnya merupakan tulisan beliau dan merupakan sejarah sebenar hidup beliau berjuang di dalam wadah PKM. Rupa-rupanya beliau orang kanan kepercayaan Ketua PKM iaitu Chin Peng dan beliau juga merupakan pemimpin PKM yang seangkatan dengan Shamsiah Fakeh. 

Di dalam buku ini beliau ada menulis (112 – 120) tentang Mat Indera. Beliau mencatatkan bahawa Mat Indera merupakan Ketua Rejimen Komunis Melayu Johor.

“Salah satu pasukan bersenjata Melayu Johor yang berpengaruh dan luas kawasan gerakannya ialah pasukan di bawah pimpinan Mat Indera dan Kadir Murei’ih. Pasukan ini bergerak di kawasan dari Muar hingga ke Air Hitam, Batu Pahat dan Segamat. Mereka mendapat sambutan yang hangat dari massa rakyat, banyak kampung telah disusun menjadi pangkalan gerila yang kukuh, banyak darah-darah baru mengalir masuk tentera. Dengan itu terbentuklah satu pangkalan gerila yang luas di kawasan Pantai Barat Negeri Johor.”

Menyentuh Peristiwa Bukit Kepong pula, Abdullah C.D dalam bukunya turut menyebut:


“Pada 23 Februari 1950 satu kompeni pasukan gabungan yang terdiri dari kawan-kawan Tionghua dan 2 platun kawan Melayu di bawah pimpinan Mat Indera melancarkan serangan mendadak ke atas Balai Polis penjajah di Bukit Kepong yang berkekuatan 1 platun.”

Di dalam orang ramai memperkatakan tentang Mat Indera, adakah beliau seorang komunis atau tidak? Aku teringat sebuah catatan sejarah yang ditulis di dalam bentuk novel yang aku telah baca berjudul Panglima Salleh Selempang Merah, karangan Zaharah Nawawi, terbitan DBP tahun 1995. 

Buku ini merupakan catatan peristiwa kekejaman komunis di daerah Batu Pahat dan sekitarnya, di mana terdapat beberapa orang panglima Melayu yang bersatu diketuai oleh seorang berketurunan Banjar dan parang panjangnya bangun menunjukkan darah kepewiraannya. 


Beliau adalah Salleh bin Abdul Karim atau Panglima Salleh atau Kiayi Salleh atau Penghulu Salleh. Di dalam buku ini, nama-nama orang Melayu yang menjadi anggota dan talibarut PKM yang mengkhianati bangsanya sendiri semasa zaman peralihan atau zaman perang parang panjang dahulu adalah dirahsiakan demi maruah.  


Begitu juga dengan nama beberapa orang pejuang yang sama-sama ikut berjuang menentang kekejaman komunis di daerah Batu Pahat dan sekitarnya.

Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman
Sebenarnya kisah Panglima Salleh ini telah aku ketahui sedari aku kecil sehingga dewasa dari mulut beberapa orang pejuang sendiri yang bersama-sama Tentera Selempang Merah berjuang menentang kekejaman komunis di daerah Batu Pahat dan Muar. 

Namun sejarah berputar kembali di mana; "Ada pengkhianat yang cuba mengubah cerita sebenar yang telah ditulis menjadi sejarah demi membolot keuntungan yang sedikit di dunia ini tanpa mempedulikan insan-insan yang telah dianiaya dan terkorban dek kekejaman lampau walaupun mereka berjuang bertaruhkan nyawa, demi menyelamatkan agama, bangsa dan tanah tumpah mereka"

Gambar  'THE BUTCHER OF THE MALAYS'

No comments:

Post a Comment

Blog Archive / Blog Arkib

LimkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...