Wednesday, 30 November 2011

Tidak Kepada Kesamarataan!

Tidak munasabah diperjuangkan kesamarataan seperti status rasmi bagi pelbagai bahasa, pelbagai agama rasmi atau penyamarataan di dalam semua perkara termasuk mencari formula baru untuk sesuatu kaum menjadi Ketua Negara. Fahaman kesamarataan amat berbahaya dan akan  hanya memusnahkan konsep kenagaraan Malaysa.

Soalnya, kenapakah di akhir-akhir ini timbul kekecohan tentang perpaduan setelah lebih lima dekad merdeka dan masih ada segelintir yang pura-pura tidak memahami tentang aspirasi Perlembagaan serta natijah sebuah kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh bangsa dari kaum pendatang. Ada sahaja isu-isu negara yang dilaga-lagakan dengan isu-isu kaum, hak asasi serta tuntutan sempit politik perkauman.


Kita memiliki satu pemerintahan dengan Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua negara, sistem politik demokrasi berparlimen raja berpelembagaan, Ketua Kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Melayu Islam, satu agama rasmi, satu bahasa rasmi, satu lagu kebangsaan, satu bendera negara, dan banyak lagi yang menjadi lambang kesatuan yang telah dipersetujui di dalam kontrak sosial secara bersama dan menyeluruh.

Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 menjadi bukti bahan politik perkauman yang menuntut kesamarataan oleh kaum-kaum pendatang seterusnya menghancurkan perpaduan antara kaum di negara ini. Di dalam kontrak sosial, perlembagaan sudah menetapkan yang mana hak-hak negara dan dengan jaminan yang mana hak-hak kaum. Di dalam perlembagaan diperuntukan tentang pembahagian kuasa antara persekutuan dengan negeri, antara perundangan, kehakiman dengan eksekutif, antara istilah rasmi dengan bukan rasmi serta telah dilengkapkan dengan peruntukan yang sesuai dengan konsep ‘negara persekutuan'.


Apakah susah sangat kita sebagai masyarakat yang maju dan berpendidikan untuk membezakan di antara persamaan dengan perbezaan dan kesamarataan? Keutuhan negara Malaysia hendaklah ditunjangi perkongsian seperti yang diterjemahan di dalam kontrak sosial dan setiap rakyat perlu sedar dan insaf bukannya kesamarataan tetapi hanyalah perkongsian.  Ikatan perkongsian bukan kesamarataan seperti mana aspirasi Perlembagaan Negara dimana ianya sudahpun menampakkan setiap bangsa dapat hidup dengan aman dan sempurna di negara ini. Rakyat asal negara ini iaitu kaum bumiputra di mana Melayu menjadi kaum yang dominan perlu terlebih dahulu bersatu. Perpaduan dan hubungan yang harmoni antara kaum bermula dan terletak di bahu Melayu dan bumiputera yang lain. Jangan dipersoalkan ketuanan Melayu di negara ini kerana Nusantara ini sememangnya milik mutlak orang-orang Melayu dari pelbagai suku dan etnik berteraskan ‘Kerajaan Melayu’.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive / Blog Arkib

LimkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...