Kini guru-guru memikul bebanan yang ‘melampau, dan isu ini perlu dipandang dengan serius dan tidak lagi dipermain-mainkan oleh pegawai-pegai tertentu yang selama ini ‘gemar’ menganiaya guru gara-gara mengejar ‘pangkat’.
Selain mengajar, guru-guru menanggung beban yang tidak sepatutnya dibebankan kepada mereka. Menyedihkan lagi, kebanyakan kerja mereka berulang-ulang dan membazir tenaga dan masa selain meningkatkan kos.
Contoh biasa, keputusan penilaian pelajar. Guru-guru terpaksa menyalin markah ke dalam Buku Rekod Mengajar, buku Pelaporan Prestasi, system Analisis Peperiksaan sekolah (SAPS), Borang Analisis Prestasi (PPD), Program Headcount (JPN), Pelan Tindakan dan pelbagai lagi.
Sepatutnya PPD dan JPN boleh mendapat data-data ini melalui SAPS tetapi malangnya, guru terpaksa melakukan kerja yang berulang-ulang untuk memasukkan data sama di dalam pengkalan data yang berbeza.
Perkara yang sama juga berlaku kepada keputusan LINUS yang perlu dimasukkan dalam pengkalan NKRA, system yang dicipta oleh JPN dan system yang dicipta oleh PPD.
Kesemua system ciptaan ini sebenarnya dibuat oleh guru yang sama, sedangkan data yang sama boleh diakses melalui system NKRA berpusat. Secara keseluruhannya, penubuhan sesuatu system/pengkalan bukan memudahkan guru dan sekolah, sebaliknya membebankan kerana kerja mereka bertambah berat. Campur tangan pegawai PPD sudah menjadikan kerja mereka jauh lebih kompleks dan sukar.
Selain itu, system Schoolnet sekolah yang berharga lebih kurang RM499 sebulan amat ‘teruk’ berbanding mobile broadband RM48 setiap bulan. Schoolnet bagaikan akses kepada internet yang langsung tidak berfungsi kerana kualitinya amat teruk sekali. Ianya merupakan satu pembaziran, walaupun adanya aduan, pelbagai-bagai alasan telah diberikan.
Setiap kali mesyuarat, warga guru tidak dapat mengingkari arahan untuk membuat kerja-kerja yang ‘tidak masuk akal’ ini. Tiada saluran sesuai untuk menyuarakan masalah ini kerana mereka ‘dicop’ untuk diambil tindakan.
Masalah yang diutarakan ini hanyalah sebahagian kecil dari 1001 isu-isu dalaman yang tidak diketahui umum yang menyumbang kepada bebanan guru yang sebenarnya sudah ‘melampau’.
Dicadangkan supaya pegawai pelajaran di semua peringkat perlu kembali ke sekolah untuk menjalankan tugas-tugas hakiki mereka sebenar, supaya mereka merasai semula ‘keperitan’ yang kian bertambah gara-gara ‘tangan mereka’ ini. Wassalam.
.jpg)
No comments:
Post a Comment