Monday, 30 September 2013

Kalimah Allah Lambang Tauhid Umat Islam


Pemimpin Kristian di negara ini seharusnya menghormati sensitiviti umat Islam terutamanya yang menyentuh perkara-perkara yang menjadi hak ekslusif mereka seperti penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katolik, The Herald. Perkara ini sangat perlu kerana negara ini tidak seperti negara lain yang hanya terdiri dari homogeous society dan agama semata-mata.

Paderi-paderi Kristian di negara ini sewajarnya menumpukan lebih usaha mengajak penganut agama Kristian ke arah menjadi manusia yang lebih baik dan melupakan niat serta usaha menarik mahupun mempengaruhi umat Islam menganut agama itu. Setiap agama sangat percaya kepada kebenaran dan cinta kepada Tuhan tidak kira apa jua nama yang menjadi panggilan kepada Tuhan yang disembah, menyuruh penganutnya menjadi lebih jujur dan bercakap benar.

Seperti juga penganut agama Kristian yang mempercayai Jesus Chirstus sebagai Tuhan yang wajib disembah dan membimbing penganutnya ke arah kebaikan, penganut Islam juga berharap mereka akan menjadi manusia yang lebih baik dan hanya mempercayai hanya Allah sahajalah yang wajib disembah.

Tiada sebab mengapa penganut Kristian menggunakan Kalimah Allah di dalam agama mereka kerana Allah merupakan kalimah eksklusif hanya kepada umat Islam sahaja sedangkan dan mereka (Kristian) hanya mempercayai Jesus Kristus sebagai Tuhan yang harus dipercayai. Jika penggunaan kalimah ini diteruskan, maka paderi-paderi Kristian telah mengamalkan sikap yang tidak jujur dan melakukan satu pembohongan yang sangat besar terhadap agama mereka sendiri.

Mungkinkah pemimpin-pemimpin Kristian di negara ini menggunakan konsep ‘kontekstualisasi’ dengan ‘menyerap’ elemen-elemen yang diamalkan di dalam agama Islam ke dalam agama Kristian untuk ‘mengeliru’ penganut-penganut Islam terutamanya kanak-kanak? Mungkinkah ‘kontekstualisasi’ ini bertujuan membolehkan umat Islam yang murtad tidak berasa kekok apabila menganut agama tersebut di negara ini? Apakah niat sebenar mereka (paderi-paderi Kristian) bermati-matian mahu menggunakan kalimah Allah?

Pemimpin-pemimpin Kristian di negara ini mestilah mengelak melakukan tindakan yang boleh membawa keburukan terutamanya terhadap masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan agama di negara ini. Masyarakat negara ini seharusnya melihat isu penggunaan kalimah Allah dari sudut mengekalkan keamanan dan perpaduan semata-mata, bukan ke arah kemudaratan. Sesungguhnya kalimah Allah menjadi lambang tauhid kepada seluruh umat Islam dari nabi Allah Adam A.S sehingga Nabi akhirulzaman Muhammad S.A.W.


Blog Archive / Blog Arkib

LimkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...