Sekadar peringatan buat diri
sendiri serta semua umat Islam tanpa mengira fahaman politik.
Ingatlah ini satu peringatan kerana ramai dikalangan umat Islam kita
mungkin terlupa. Peringatan ini untuk semua termasuklah diri aku
juga.Rasulullah SAW melarang keras dengan mengutuk sesama Muslim.
Yang dimaksudkan dengan mengutuk ialah mendoakan orang lain
agar mendapat kecelakaan. Mengutuk ini adalah satu perbuatan yang terlarang
kita lakukan sesama muslim. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. di
dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim : Dari Ibnu Mas’ud
maksudnya: “ Mencaci orang Islam itu termasuk fasik dan membunuhnya termasuk
kafir.”
Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Mengutuk seorang mukmin
itu seperti membunuhnya.” (Hadis Riwayat Jamaah selain Ibnu Majah, hadis riwayat
Tsabit bin Adl-Dlahak)
Nabi SAW bersabda maksudnya : ” Sesungguhnya seorang hamba
bila melaknat seseorang nescaya laknat itu akan naik ke langit kemudian menutup
pintu pintu langit di bawahnya, lalu turun ke bumi menutup pintu pintu yang
lain, kemudian mengambil tangan kanan di tangan kirinya, apabila tidak memenuhi
sasarannya, ia kembali kepada orang yang dilaknat dan jika tidak boleh ia akan
kembali kepada orang yang melaknatnya.” (Riwayat Abu Daud)
Rasulullah SAW bersabda maksudnya ” Tidaklah para pelaknat
itu dapat jadi penolong dan saksi di hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim dan
Abu Daud)
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: ” Tidak patut seorang
teman baik, mengutuk (temannya)” (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW
bersabda maksudnya: ” Seorang mukmin bukanlah orang yang suka mencerca, bukan
yang suka menjolok jolok, bukan yang suka berbuat keji, dan bukan juga orang
yang suka bercakap keji.”
Dari hadis hadis tersebut di atas telah diterangkan bahawa
mengutuk sesama muslim itu termasuk perbuatan yang berdosa, kerana kutukan dan
laknat itu menjadi hak ALLAH SWT sahaja, dalam menghukum setiap hambanya.
Sehingga kita dilarang mengutuk kerana kegunaan kutukan itu
mengharapkan supaya ALLAH SWT mencabut semua nikmat yang telah diberikan kepada
hamba tersebut baik nikmat zahir maupun nikmat batin, supaya dia (orang yang
dilaknat) tidak memperoleh nikmat dan anugerahNya.
Oleh kerana itu Rasulullah SAW melarang perbuatan itu,
bahkan menganjurkan sebaliknya iaitu supaya saling mendoakan sesama muslim agar
mendapat nikmat dan kurnia dari ALLAH SWT.
(Sumber: Al-Kabair)

No comments:
Post a Comment