Topik paling panas sepanjang minggu yang tular di
laman-laman sosial ialah, Malaysia takut
dengan Korea Utara sehingga negara rejim komunis itu membuli negara ini.
Bayangkan tidak sampai 24 jam, Putrajaya mengusir Duta Besar
Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, Pyongyang pula membalas dendam apabila
menghalau Duta Besar Malaysia pula.
Paling dahsyat, Kementerian Luar Korea Utara bertindak lebih
jauh apabila menjadikan 11 rakyat Malaysia di negara itu sebagai ‘tebusan’
sehingga mayat Kim Jong-nam yang dibunuh ejen mereka diserahkan balik ke tanah
airnya.
Ironi, Pyongyang sebenarnya tersilap langkah, apabila
Putrajaya tanpa mengambil masa lama, terus mengeluarkan arahan menyekat semua
warga Korea Utara yang cuba keluar daripada Malaysia waima bertaraf diplomatik!
Babak inilah dijadikan bahan kecaman segelintir warga
Malaysia yang tipis semangat patriotik khasnya penyokong blok politik apabila
menjadikan isu ketegangan itu konon sebagai kelemahan kepimpinan negara kita.
Ada netizen yang mengaitkan krisis diplomatik akibat
kelemahan ekonomi Malaysia, sesuatu yang memalukan disebabkan tahap pengetahuan
yang sangat rendah, kerana satu dunia tahu ekonomi Korea Utara jauh lebih teruk
daripada Malaysia.
Beberapa pemimpin pembangkang pula cuba menjadi hero di Parlimen
apabila menjadikan kemelut Putrajaya-Pyongyang itu sebagai modal politik bagi
menutup krisis teruk yang dialami Pakatan Harapan.
Dari sudut amalan antarabangsa, Pyongyang sebenarnya memang
jelas bersalah dalam hal ini, malahan mencabuli Artikel 9 Konvensyen
Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961.
Bukan kali pertama negara kita mengusir diplomat asing sebagai
status ‘persona non grata’ waima dengan kuasa besar dunia yang kekuatan
tenteranya jauh lebih hebat berbanding Korea Utara.
Malaysia pernah mengusir tiga diplomat Kedutaan Kesatuan Soviet
(kini Rusia) pada 1981 kerana melakukan aktiviti pengintipan. Negara juga pernah
mengusir duta Singapura dan Indonesia atas sebab sama.
Bayangkan, jika dengan pihak Soviet yang pernah menaungi
Korea Utara sepanjang Perang Dingin dengan AS pun, Malaysia boleh bertindak
‘garang’, apatah lagi rejim diktator Jong-un yang hidup dalam ketakutan dan
penuh ilusi.
Justeru tiada istilah takut dengan Korea Utara kerana
sejarah membuktikan pasukan keselamatan negara kita muncul satu-satunya di
dunia berjaya menghancurkan pengganas komunis.
Realitinya dalam konteks geopolitik global, Pyongyang
sebenarnya memerlukan Putrajaya kerana negara terpencil itu teruk disisihkan
masyarakat antarabangsa.

No comments:
Post a Comment