KUALA LUMPUR: Diskriminasi atas
dasar kepercayaan agama dialami oleh golongan majoriti atau umat Islam di
negara ini, bukan oleh golongan minoriti atau bukan Islam.
Pengarah Eksekutif Pusat bagi
Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) Azril Mohd Amin berkata
demikian bagi menyangkal Laporan Suruhanjaya mengenai Kebebasan Agama
Antarabangsa Amerika Syarikat (USCIRF) 2017 bagi Malaysia.
“Minoriti di Malaysia secara
umumnya tidak mengalami sebarang diskriminasi atas alasan kepercayaan agama,
tetapi yang sebenar, realitinya adalah sebaliknya.
Majoriti mengalami
diskriminasi atas alasan kepercayaan agama manakala minoriti diberi kebebasan,
walaupun ia melanggar undang-undang atas alasan kebebasan beragama,” kata Azril
dalam penjelasan 30 muka surat mengenai laporan USCIRF.
Centhra memberi contok struktur
tempat ibadat yang dibina secara haram di tanah milik kerajaan negeri tanpa
kebenaran kerajaan, lot kedai , pejabat dan bangunan komersial dijadikan
sebagai gereja Kristian yang melanggar undang-undang perancangan.
Dalam pada itu, beliau berkata
contoh lain ialah sesetengah pekerja yang beragama Islam dinafikan hak oleh
syarikat swasta untuk menunaikan solat Jumaat yang diwajibkan.
Beliau berkata demikian bagi
menyangkal satu daripada perkara dalam laporan USCIRF yang menyatakan
sesetengah menghadapi kesulitan untuk mengakses bahan agama seperti Bible dan
mendapat kebenaran kerajaan untuk membina rumah ibadat.
Azril berkata Bible dijual secara
terbuka di hampir setiap kedai buku umum.
Beliau mempersoalkan laporan
USCIRF yang mendakwa kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),
atau institusi Islam, memburuk-burukkan golongan minoriti agama dalam khutbah.
Katanya, spekulasi pemerhati
bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh mengadakan pilihan raya
awal “bergantung apabila beliau fikir Umno boleh mendapat undi terbanyak” tidak
disokong oleh sebarang bukti dalam laporan USCIRF.
“Siapakah pemerhati itu dan
mengapa mereka tidak dipetik? Walaupun jika benar, tidak tidak melanggar
kebebasan beragama dan ia selaras dengan amalan demokrasi,” kata beliau
mengulas laporan USCIRF bahawa kuasa politik terus mengeksploitasi agama dan
etnik.
Azril berkata fahaman lain
seperti Syiah, Ahmaddiyah, Baha’i dan Al-Arqam diharamkan kerana kebimbangan
mengenai keselamatan negara, bukan kerana tindakan tidak toleran kerajaan
seperti yang digambarkan dalam laporan USCIRF.
Kecaman oleh Najib mengenai
layanan kerajaan Myanmar ke atas minoriti Islam Rohingya, seperti disebutkan
dalam laporan USCIRF itu, adalah wajar memandangkan pembunuhan dan pencabulan
hak asasi manusia yang dilakukan oleh pihak berkuasa Myanmar ke atas mereka,
tambahnya.
“Semua ini berlaku walaupun
adanya kerajaan baharu, yang kononnya kerajaan demokratik diketuai oleh ikon
antarabangsa Aung San Suu Kyi. Begitu juga dengan penghantaran kapal Malaysia
ke Sittwe untuk memberi bantuan kepada etnik Rohingya dengan membawa bekalan
dan bantuan kemanusiaan,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment