Friday, 15 July 2016

Di belakang rumah kita ada ribut menanti masa untuk membadai.



Ketika rakyat Malaysia menyangka bahawa lanskap politik nasional sudah cukup ganas berkocak tatkala ini, rupa-rupanya di ‘belakang rumah’ ada ribut yang lebih dahsyat, menanti masa membadai.

Tanpa kita sedari, krisis pertikaian antara pelbagai negara termasuklah Malaysia sendiri di Laut Cina Selatan semakin rancak berlaku, dan mula menunjukkan pelbagai perkembangan yang sepatutnya menggusarkan kita.

Hari demi hari berlalu, tiada tanda bahawa ketegangan perseteruan antara US dan China dalam membina pengaruh mereka di kawasan Laut Cina Selatan akan mereda. Malah dalam perkembangan terkini, pergerakan kedua-dua belah pihak kelihatan semakin agresif dalam menunjukkan taring ketenteraan mereka.

US giat mengarahkan kapal-kapal tentera mereka masuk ke perairan Laut Cina Selatan, selain mula meletakkan strategic bombers di pengkalan di Australia.

China sudahpun membina pengkalan tentera di kepulauan Paracel sejak beberapa tahun lepas, mengejutkan ramai pihak apabila mereka dilaporkan sudahpun menghantar HQ-9 anti-air missiles di kepulauan tersebut.

Meskipun kedua-dua kuasa besar tersebut memberi kenyataan bahawa aktiviti ketenteraan bukanlah pilihan mereka dalam isu pertikaian di Laut Cina Selatan, pergerakan yang sedang berlaku kelihatan sebaliknya.

Di dalam sebuah penerbitan Council on Foreign Relations berkenaan pertembungan antara US dan China di Laut China Selatan, pertembungan secara bersenjata atau secara ketenteraan disebut sebagai sebuah situasi yang tinggi kemungkinannya untuk berlaku.

Menurut penerbitan tersebut, berdasarkan situasi sedia ada, terdapat sekurang-kurangnya tiga pertembungan bersenjata yang mungkin berlaku:
  • US dengan China - Berdasarkan perkembangan sekarang, sebarang kesilapan kecil atau salah faham di peringkat politik boleh menjadi punca untuk pertembungan ini meletus. Krisis politik yang besar boleh terhasil dan seluruh rantau ini akan menerima implikasi secara ketenteraan.
  • China dengan Filipina. Filipina yang juga merupakan pengkalan besar US di Asia Tenggara dilaporkan ingin meneroka sumber gas asli di kawasan Reed Bank, tidak jauh dari Palawan. Jika Filipina berkeras untuk meneruskan usaha penggalian ini tidak mustahil China akan memberikan respon balas yang agresif. 
  • China dengan Vietnam. Vietnam juga dilaporkan turut berhasrat menggali minyak di perairan Laut Cina Selatan, khususnya di kawasan yang sedang dipertikaikan. Jika China memberi amaran kepada Vietnam dan amaran ini tidak dihiraukan, kemungkinan besar akan berlaku serangan ke atas Vietnam oleh China.
Malaysia tidak terlepas daripada menerima provokasi dan tekanan daripada kedua-dua belah pihak, khususnya China yang semenjak beberapa tahun lepas mengambil pendekatan yang lebih physically provocative. 

Tiga bulan lepas, 100 bot yang berdaftar dengan China dikesan berada di kawasan perairan Malaysia yang terlibat dalam pertikaian hak di Laut China Selatan.

Memandangkan Malaysia turut merupakan salah sebuah negara utama yang terlibat secara langsung dalam mempertahankan hak ke atas sebahagian kawasan di Laut Cina Selatan, sebarang konflik dan krisis ketenteraan yang berlaku akan turut membabitkan Malaysia samada Malaysia sudah bersedia atau tidak.

Implikasi utama yang boleh diramalkan ialah penghakisan kedaulatan rakyat dan kerajaan di negara-negara yang terbabit. 

Jika di Malaysia, secara khusus bangsa Melayu-Islam adalah kelompok yang paling banyak akan menerima impak kerana secara sosio-sejarah bangsa ini tidak pernah memberikan kesetiaan selain daripada tanah air mereka sendiri. 

Berbeza dengan rakyat berbangsa lain yang memiliki sejarah kesetiaan kepada kuasa di tanah air mereka seperti bangsa Cina misalnya. 

Jika diteliti dalam lanskap politik negara, terdapat beberapa tokoh politik secara terang-terangan lebih gemar melibatkan kuasa luar untuk menyelesaiakan krisis yang dihadapi.

Situasi ini memungkinkan berlakunya pertembungan dan perpecahan antara rakyat yang akhirnya akan membuka laluan kepada kuasa luar campur tangan (pengajaran dari sejarah lampau).

Malaysia kini benar-benar di dalam keadaan fragile dan vulnerable kepada situasi ketenteraan di Laut Cina Selatan.

Adakah Malaysia mampu mempertahankan kedaulatannya jika itu berlaku? 

Jawatan kepada situasi ini sangat merisaukan!

No comments:

Post a Comment

Blog Archive / Blog Arkib

LimkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...