Sunday, 16 April 2017

G25 : Perjuangan Puak-Puak Islam Liberal

Baru-baru ini kedengaran isu kontroversi ditimbulkan oleh kumpulan dikenali sebagai G25 iaitu kumpulan bekas pegawai kanan, antaranya mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kesalahan khalwat kerana melanggar hak individu, malah perbuatan khalwat di rumah persendirian hanyalah dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah SWT kecuali jika dilakukan di kawasan awam.
Kumpulan ini juga menggesa penubuhan jawatankuasa perunding bagi membincang untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah. Pandangan ini dilihat memiliki fahaman ekstrem liberal apabila beberapa isu yang diketengahkan bertentangan ajaran Islam.


Kenyataan ini kononnya mendukung pendekatan wasatiyyah, mengelirukan masyarakat kerana kumpulan itu secara nyata mempromosikan amalan liberalisme ekstrem. Pandangan sebegini pada asasnya tidak menepati maksud sebenar pendekatan wasatiyyah yang menjurus kepada keseimbangan dalam setiap aspek kehidupan.


Wasatiyyah bukan bermaksud perlu sederhana saja contohnya sederhana belajar, kerja dan sebagainya, sebaliknya ia adalah secara menyeluruh mencakupi kecemerlangan dan keadilan dalam semua perkara.


Salah tafsir wasatiyyah Sehubungan itu, kumpulan G25 disaran tidak mengelirukan rakyat mengenai konsep wasatiyyah kerana ia boleh mendatangkan impak negatif. G25 juga tidak sewajarnya berselindung dengan menyalah tafsir wasatiyyah kerana apa yang dipromosikan oleh mereka bukan kesederhanaan tetapi liberalisme ekstrem sehingga memesongkan agama Islam sebenar.


Islam menolak hak asasi Barat yang meletakkan kebebasan mutlak individu dan bagi mereka setiap individu berhak mendapat kebebasan secara total, hinggakan apa juga kebebasan dan kemahuan dianggap sebagai suatu hak yang mesti dilunaskan.


Maka tidak menghairankan apabila perlakuan gejala sosial, orientasi seks dan murtad diangkat sebagai kebebasan bersuara, hak individu dan kebebasan memilih. Semuanya berselindung di sebalik hak asasi manusia berlandaskan freedom and liberty.


Daripada perspektif Islam, hak asasi manusia adalah bermatlamat melindungi maruah dan kemuliaan manusia yang membezakan antara manusia dan haiwan. Islam sebagai agama bersumberkan wahyu, adalah agama yang mula-mula memperakui dan mendaulatkan hak asasi manusia.


Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf semua golongan di Malaysia dan mendapat perlindungan sama rata tanpa membezakan antara agama, bangsa dan jantina seseorang. Di sudut Islam, martabat wanita tidak pernah dipandang rendah. Dari sudut institusi kekeluargaan, Islam menetapkan asas institusi keluarga yang menjamin kepentingan wanita.


Islam lindungi keluarga, masyarakat Kumpulan G25 juga perlu menyedari Islam bukan hanya agama yang menjaga individu, tetapi turut melindungi keluarga dan masyarakat. Satu analogi yang mudah dengan situasi hidup hari ini, adalah Islam melarang umatnya mengganggu ketenteraman jiran tetangga supaya tidak berlaku porak-peranda sesama masyarakat umpamanya melakukan perkara yang menyebabkan bunyi bising sehingga mereka tidak dapat berehat atau tidur dengan tenteram.


Begitu juga apa yang dipersoalkan oleh G25 mengenai soal intipan dan serbuan yang dilakukan oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam bagi mematahkan gejala zina, khalwat dan yang berkaitan dengannya. Pada prinsipnya pegawai penguat kuasa agama mempunyai kuasa untuk bekerjasama dengan polis menyerbu premis persendirian dan tempat awam untuk menguatkuasakan undang-undang syariah, termasuk pelanggaran seperti berpakaian tidak senonoh, mengedar penerbitan dilarang, meminum alkohol mahu pun khalwat.


Maka dalam keadaan di atas, adalah harus untuk meninjau dan memeriksa, sebagai mengambil hazar (jalan hati-hati) dari terlewat bertindak sehingga berlaku maksiat atau jenayah. Malah harus juga untuk mengetuk, memeriksa rumah dan bilik hotel jika ada laporan yang boleh dipercayai mengenai perlakuan jenayah atau maksiat di dalamnya, terutama apabila terzahir sehingga terdengar jeritan minta tolong, bauan arak serta dimaklumi berdasarkan maklumat sahih, wujud unsur percampuran lelaki dan perempuan yang bukan mahram di sesuatu premis.


Perkara ini termaktub mengikut akta dan enakmen pentadbiran undang-undang syariah yang dikuatkuasakan di bawah kuasa Sultan dan Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertuan Agong, selaku ketua negara. Umat Islam perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di dunia Barat dan membina kembali peradaban baharu dengan meningkatkan kefahaman terhadap Islam.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive / Blog Arkib

LimkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...