Kewujudan Laksamana Hang Tuah pernah dipersoal akibat
ketiadaan bukti arkeologi. Namun pakar Barat di Universiti Nasional Singapura
(NUS) ini yakin bukan sahaja Hang Tuah wujud, malah pernah memerintah
Singapura.
Akhbar Berita Harian Singapura baru-baru ini
melaporkan, pulau itu mungkin sebuah pusat pelabuhan utama bagi Empayar Melaka
pada abad ke-15 yang ditadbir seorang laksamana dan beliau dipercayai ialah
Hang Tuah sendiri.
Laksamana berkenaan dikatakan tidak sahaja berkuasa
memerintah ketika itu dan mentadbir pelabuhan tersebut, bahkan mengetuai
angkatan laut Kesultanan Melayu Melaka yang menjadikan Singapura sebagai
pangkalannya.
Sebagai laksamana, Hang Tuah menjadikan pulau yang pernah
disebut Temasek sebelum diubah Sang Nila Utama kepada Singapura; menjadi tempat
tinggalnya, kata pakar sejarah dan arkeologi Singapura, Prof. Dr. John Miksic.
Baru-baru ini, kewujudan Hang Tuah sekali lagi dipersoalkan
pihak tertentu kerana konon tiadanya bukti arkeologi yang mengaitkan kehidupan
dirinya, seperti yang panas dilaporkan oleh pelbagai media Malaysia sekitar Mei
lalu.
“Hang Tuah pasti ada. Jawatannya sebagai Laksamana ada.
Gelarannya sebagai Sri Bija Diraja, kita ketahui pasti ada. Orang yang namanya
Hang Tuah belum dapat diperkuat dengan data dari sumber selain Sejarah
Melayu.
“Namun tidak ada alasan untuk percaya bahawa orang dengan
nama itu tidak ada,” ujarnya merujuk watak Hang Tuah sering disebut
dalam banyak sumber asing dari China dan Jepun, selain kitab terkenal Sejarah
Melayu.
“Itu yang paling menentukan, sebab ternyata pada akhir abad
ke-15, laksamana dari Singapura itu berhak mengirim surat rasmi atas namanya
sendiri kepada mana-mana raja asing. Surat itu bahkan masih ada lagi di
Okinawa.
“Banyak surat di Okinawa yang dikirimkan dari Laksamana
Melaka, tanpa nama, hanya gelarannya yang disebut. Tetapi dia yang berhak
bertindak atas nama Sultan,” tambah Profesor Jabatan Pengajian Asia
Tenggara NUSÂ itu.
Miksic yang fasih berbahasa Melayu mula mengajar di NUS
sejak 1987, dan sebelum itu pensyarah di Universiti Gadjah Mada, institusi
pengajian terkenal di wilayah istimewa Yogyakarta, Indonesia, selama enam
tahun.
Memberi perincian Singapura sebagai pusat pelabuhan Empayar
Kerajaan Melaka, beliau menegaskan ia jelas dilaporkan perwira angkatan armada
Laksamana Zheng He atau juga disebut Cheng Ho dari China pada 1435.
Menurut Miksic, setelah tertubuhnya Kesultanan Melaka
sekitar tahun 1400, Singapura yang sudah wujud lebih awal daripada Melaka tetap
ada, bahkan langsung tidak musnah akibat serangan hebat oleh tentera Majapahit.
Sebelum ini, sejarah menyatakan Singapura musnah akibat
serangan itu, yang dilakukan agar dapat menangkap sultan terakhir Singapura,
Sultan Iskandar Shah dan dibuktikan bukan sahaja dari segi sejarah, malah
arkeologi.
Singapura juga pusat transit kapal laut dan sangat strategik
dalam struktur kerajaan Melaka – tempat bagi orang dari Jawa atau Sumatera
contohnya singgah dulu di Singapura sebelum menuju ke tempat lain seperti India
atau China.
Angkatan laut Kesultanan Melaka pula ditempatkan di
Singapura disebabkan kedudukan pulau ini lebih strategik dan terlindung
berbanding dengan Melaka yang agak terbuka dan mudah diserang dari arah laut
atau darat.
Selain melindungi perairan Selat Melaka dan sekitarnya,
angkatan tentera tersebut turut dikerah membasmi kegiatan lanun yang dikatakan
cukup berleluasa menjarah banyak kapal dagang asing di perairan Singapura.
Hang Tuah ujar Miksic juga mempunyai kuasa memerintah
Singapura seumpama pemimpin tempatan bertaraf gabenor dalam sistem pentadbiran
moden atau amir jika merujuk kepada zaman khalifah Islam di Timur Tengah.


No comments:
Post a Comment