Ketika tokoh pembangkang terkenal Malaysia, menghina
skim BR1M konon sebagai rasuah, lain pula halnya berlaku di Finland.
Negara rantau Scandinavia itu muncul menjadi negara pertama
di benua Eropah yang akan memberikan ‘gaji’ bagi rakyatnya masih lagi
penganggur sama ada enggan bekerja, baharu dibuang kerja atau belum mendapat
kerja.
Ia sekali gus mengatasi 63 buah negara lain di seluruh
dunia, baik negara membangun mahupun negara maju yang melaksanakan bentuk
sistem bantuan kewangan ala BR1M dengan pelbagai nama bagi membantu rakyat
marhaen.
Mereka yang terpilih akan menerima wang tunai tersebut pada
setiap bulan serta tidak dibebani dengan kewajiban untuk melaporkan setiap
penggunaan gaji berkenaan sama ada untuk berhibur, bantu keluarga dan
sebagainya.
Wang gaji bulanan bagi setiap penganggur ‘bertuah’ itu tentu
sangat jauh di bawah garis purata pendapatan warga Finland yang jika bekerja di
sektor swasta, lazimnya menerima upah 3,500 euro (kira-kira RM16,440) sebulan.
Olli Kangas dari KELA, sebuah badan pemerintah yang mengurus
isu kebajikan sosial, menyatakan bahawa idea pelaksanaan skim unik itu adalah
untuk menghilangkan ‘masalah insentif’ dalam kalangan para penganggur.
Di Finland, seorang penganggur pada kebiasaannya sanggup
menolak sebarang pekerjaan dengan upah rendah atau tempoh masa kerja pendek
khasnya sektor karier yang dirty, dangerous, difficult atau disebut
juga sebagai 3D.
Ini kerana penganggur terbabit mungkin berasa bimbang dengan
hasil keuntungan kewangan mereka bakal menurun drastik di bawah sistem jaminan
sosial Finland yang lazimnya sangat murah hati tetapi agak rumit ini.
Skim tersebut dibentuk agar para penganggur terlibat masih
lagi berhasrat untuk bekerja apa pun tanpa berasa risau mereka mungkin
kehilangan pelbagai program tunjangan sosial daripada agensi kebajikan
pemerintah.
Mereka yang terpilih ini tetap menerima imbuhan 560 euro
sebulan meskipun sudah berjaya mendapatkan pekerjaan tetap sepanjang waktu
percubaan selama 24 bulan ini.
Skim gaji tersebut, sekali gus menjadi
eksperimen berkaitan perilaku rakyat, khususnya yang tidak memiliki sebarang
pekerjaan bagi melihat sejauh mana mereka boleh membina kehidupan masa depan
lebih baik.
Kadar pengangguran di Finland, negara dengan penduduk hanya
sekitar 5.5 juta orang itu mencatatkan angka sebesar 8.1% setakat
November tahun lalu, iaitu antara tertinggi dalam kalangan negara maju sendiri.
Skim unik ini merupakan sebahagian daripada langkah yang
diambil pihak pemerintahan kanan-tengah pimpinan Perdana Menteri, Juha Sipila
untuk mengatasi masalah pengangguran di negara itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Post a Comment