WASHINGTON DC – Satu dunia tentu maklum dengan kempen Donald
Trump ketika pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) yang turut
mempopularkan slogan ‘Make America Great Again’.
Menerusi kempen itu, beliau yang juga presiden tertua dalam
sejarah AS berjanji mengutamakan negara tersebut termasuk membatalkan
perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia melibatkan 12 buah negara iaitu
TPPA.
Malah antara intipati ucapan sulung Trump, 70, apabila
secara rasmi dilantik sebagai presiden AS ke-45 di sini pada Jumaat ialah
pentadbiran beliau lebih mengutamakan “beli produk AS dan peluang pekerjaan
untuk warga AS”.
Namun menurut agensi berita antarabangsa Reuters,
ungkapan popular itu penuh dengan ironi apabila tinjauan mendapati topi besbol
dengan ayat ‘Make America Great Again’ pun ialah buatan China,
Vietnam, dan Bangladesh.
Beberapa penyokong tegar Trump yang ditemui turut
terperanjat apabila mengetahui bahawa topi kempen yang dipopularkan Trump dan
dipakai mereka di kepala selama ini ternyata bukan produk buatan firma AS
sendiri.
“Oh Tuhan, semoga ini bukan buatan China,” kata Abby
sebelum membalikkan topi tersebut untuk memastikan jangkaannya salah tetapi
kemudian melihat label pada topi: “Made in China! Jangan beritahu
sesiapa ya!”
Sebenarnya topi Trump ini mudah dibeli sepanjang kempen
Trump dan pada mulanya memang dibuat di sebuah kilang tekstil terkenal iaitu
Cali-Fame di Los Angeles, California yang dijual pada harga AS$25 (kira-kira
RM111).
Walhal tinjauan mendapat ia dijual lebih murah oleh peniaga
jalanan hanya AS$20 (hampir RM89). Ironi lebih 80 peratus pekerja di kilang
seluas 2,800 meter persegi itu ialah warga Mexico, negara jiran yang cukup
dibenci Trump!
Sementara itu, Joshua Roja, 25; dan Alyssa Young, 28; yang
sanggup datang dari jauh di Texas untuk menyaksikan pelantikan Trump di sini
turut mengenakan topi warna merah jambu bertuliskan ‘Make America Great
Again’.
“Saya langsung suka dengan corak topi ini sebaik sahaja saya
kali pertama melihatnya. Saya bahkan membelinya di luar sana dari seorang
penjual tepi jalan dengan harga AS$20,” kata dia tetapi apakah itu memang
buatan AS?
Young menjawab: “Saya tidak tahu di mana sebenarnya
topi ini dibuat. Biar saya periksa terlebih dulu ya.” Dia kemudian
menyelak topinya dan memeriksa label pada bahagian belakang. “Oh tidak!
Buatan Vietnam!” teriak dia.
Hal serupa menimpa Victoria Scott, 13; dan adiknya, Andrew
Scott, 12; yang mengenakan topi ‘Make America Great Again’ apabila
mendapati topi yang dibeli pada harga AS$25 itu adalah buatan China. Namun
mereka tidak peduli.
Andrew yang tertarik untuk memeriksa topinya turut menjerit “Banglakes?” dalam
nada kehairanan setelah meriksa label pada topinya. Bapa mereka kemudian segera
membetulkan ayat anaknya itu. “Bangladesh.”
Manakala Robert Morrison dari Queens, New York, mengenakan
topi “Make America Great Again” yang dia beli dari jalanan pada harga
AS$20 dan dia juga mengenakan topi kelab bola lisut tempatan terkenal New York
Yankees.
Sebagai mana yang lain, lelaki ini terkedu apabila mendapati
ia buatan China! Padahal dalam pidatonya, Trump memikat masyarakat dengan
ucapan yang garang konon mempertahankan maruah AS sebagai kuasa besar dunia.
No comments:
Post a Comment