Kerajaan Sarawak tidak membenarkan McDonald’s Malaysia
menyekat kemasukan kek ‘ramuan haram’ bakal menjejaskan status halal restoran
itu di negeri tersebut.
Ini kerana berdasarkan peraturan am ditetapkan Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), premis yang terbukti menghidangkan makanan
diperbuat daripada bahan haram dari segi syarak boleh ditarik balik penarafan
halal.
Lebih malang, logo halal dipamerkan juga mesti ditanggalkan
di premis terbabit kerana ia dianggap melanggar syarat Akta Perihal Dagangan
2011 kerana sengaja mengelirukan umat Islam apabila menyajikan makanan haram.
Jika ini berlaku, McDonald’s Malaysia boleh dikenakan
hukuman denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun akibat
mempermainkan logo halal tetapi membenarkan kek ‘haram’ dibawa masuk ke premis!
Inilah dilema yang dialami pihak pengurusan restoran makanan
segera popular itu yang memiliki 13 cawangan di Sarawak susulan amaran keras
dikeluarkan oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak, Michael Tiang
Beliau dengan nada yakin mendakwa dasar yang dilaksanakan
McDonald’s Malaysia untuk hanya membenarkan kek yang disahkan sebagai halal
untuk dibawa masuk ke dalam premisnya, tidak dialu-alukan di seluruh Sarawak.
Tiang dengan angkuh menggesa pengurusan rangkaian McDonald’s
tidak melaksanakan dasar itu ke Sarawak dan berkata, dasar itu ‘sama sekali
tidak sesuai’ dengan kewujudan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri
ini.
“Salah satu ciri unik Sarawak adalah keharmonian sepanjang
masa dan amalan toleransi dalam kalangan penduduk kumpulan etnik yang berbeza.
Perpaduan menjadi asas kebanggaan Sarawak sejak sekian lama.
“Kita (kerajaan negeri) tidak boleh membiarkan mana-mana
pihak pelampau agama atau kaum merosakkan perpaduan dalam kalangan rakyat
Sarawak,” kata Tiang dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Tiang berkata, untuk mengekalkan keharmonian di negeri ini,
kerajaan negeri Sarawak telah menghalang kemasukan mereka yang berfahaman
pelampau, fanatik agama dan membawa sentimen perkauman.
Minggu lalu, McDonald’s mengesahkan melaksanakan dasar rasmi
yang menghalang pelanggan daripada membawa kek tanpa sijil halal ke premisnya,
selaras dengan syarat standard ketat ditetapkan oleh pihak Jakim.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Tiang berkata, cawangan
McDonald’s di Miri dikenal pasti telah bertindak menurunkan notis mengenai
larangan kek itu selepas menerima arahan daripada ibu pejabat, Khamis.
“Setakat yang saya tahu, hanya cawangan Miri adalah
satu-satunya cawangan McDonald’s di Sarawak yang secara terbuka pernah
memaparkan notis berhubung kek diperbuat bahan haram itu di premis mereka.
“Tindakan segera itu adalah satu langkah yang bijak dan
tindak balas positif terhadap bantahan kukuh rakyat Sarawak berhubung dasar
halal ditetapkan pihak Jakim itu,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Post a Comment