Ketika Sarawak, negeri terbesar di Malaysia
melarang McDonald’s menyekat kek ‘haram’ memasuki 13 premisnya atas nama
perpaduan rakyat berbilang kaum, lain hal pula di Singapura.
Pihak berkuasa republik itu; yang majoriti rakyatnya bukan
Islam, tetap membenarkan pihak pengurusan restoran makanan segera popular
tersebut melaksanakan dasar larangan kemasukan kek diperbuat daripada bahan
haram.
Ia susulan pengumuman dibuat McDonald’s Malaysia baru-baru
ini bahawa kek hari lahir dibawa oleh pelanggan mestilah daripada sumber halal,
demi menjaga integriti dan status logo halal dikeluarkan pihak berkuasa agama.
Ekoran itu, kesemua rangkaian 134 buah cawangan restoran
makanan Barat tersebut di seluruh Singapura juga mengesahkan bahawa hanya kek
yang disahkan sebagai halal dibenarkan untuk dibawa masuk ke premis mereka.
Pengarah perhubungan pemerintah dan komunikasi McDonald’s
Singapura, Faz Hussen ketika memberitahu agensi berita tempatan MediaCorp, syarat
asas tersebut sebenarnya sudah lama dikuatkuasakan sejak tahun 1992.
Malah semua restoran McDonald’s di republik ini telah
menerima sijil halal yang diperakui daripada pihak Majlis Ugama Islam Singapura
(MUIS) sendiri lebih dua dekad lalu waima tidak dipertikaikan pelanggan bukan
Muslim.
“Sebagai restoran yang diiktiraf sebagai 100 peratus halal,
kami mesti mematuhi syarat-syarat ketat MUIS bagi memastikan makanan yang kami
hidangkan adalah halal dan sesuai untuk para pelanggan Muslim,” kata Faz lagi.
Beliau turut menambah: “Ini termasuk syarat dalam proses
penyediaan makanan, penyimpanan bahan masakan dan memastikan segala makanan
yang disediakan tidak bercampur dengan sebarang bahan tidak halal dari segi
syarak.”
Syarat tersebut bahkan dimaklumkan kepada semua pelanggan
dan maklumat berkenaan juga tertera menerusi laman web rasmi McDonald’s, tambah
Faz sebagai mengulas isu kek halal di restoran tersebut di Malaysia.
Tinjauan yang dibuat MediaCorp ke laman McDonald’s
Singapura menunjukkan bahawa kek hari lahir adalah antara perkara yang termasuk
dalam bahagian soalan-soalan yang sering ditanya (FAQ) oleh pelanggan mereka.
Syarikat gergasi makanan segera berpangkalan di Amerika
Syarikat itu menyatakan pihaknya ada menawarkan kek hari lahir sebagai pilihan
sebahagian daripada pakej pesta hari jadi supaya ia memudahkan urusan
pelanggan.
McDonald’s pada dasarnya tidak membenarkan langsung para
pelanggan untuk memakan makanan yang dibawa masuk dari luar premis tersebut,
tetapi membuat pengecualian bagi kek hari lahir dengan syarat ia mesti halal.
No comments:
Post a Comment