Singapura, negara termaju di rantau ASEAN, merupakan
antara 20 negara memiliki kadar hutang asing tertinggi di dunia, menurut
maklumat hutang global terkini dikumpul enjin pencarian, Yahoo!.
Republik itu dianggarkan memiliki hutang bernilai AS$1.76
trilion (RM7.22 trilion). Mengikut ruangan kewangan enjin pencarian itu,
hutang asing bermaksud pinjaman yang dibuat oleh individu atau entiti sesebuah
negara daripada pihak asing.
Pinjaman itu sama ada merupakan pinjaman atau sekuriti
hutang oleh kerajaan atau syarikat-syarikat tempatan daripada institusi
kewangan atau bank komersial asing.
Nilai hutang yang dikumpul oleh Yahoo! itu
disiarkan pada 7 September lalu, dengan meletakkan kuasa ekonomi terbesar
dunia, Amerika Syarikat (AS) sebagai negara yang memiliki hutang asing
tertinggi sebanyak AS$17.91 trilion (RM73.43 trilion) setakat 31 Mac 2016.
Antara negara-negara lain yang dikelaskan sebagai 20 negara
yang memiliki hutang asing yang tinggi ialah Luxembourg AS$3.47 trilion
(RM14.23 trilion), Jepun AS$2.86 trilion (RM11.73 trilion), Itali AS$2.65
trilion (RM10.87 trilion), Belanda AS$2.52 trilion (RM10.33 trilion) dan
Sepanyol AS$2.3 trilion (RM9.43 trilion).
Beberapa negara rantau Skandinavia yang memiliki tahap
sosial tinggi juga memiliki hutang asing besar seperti Sweden AS$1.15 trilion
(RM4.72 trilion), Norway AS$615 bilion (RM2.52 trilion) dan Denmark AS$593
bilion (RM2.43 trilion). – Agensi
No comments:
Post a Comment