Friday, 9 September 2016

Kecelaruan Fikiran

Suka atau tidak cepat atau lambat, perubahan tetap akan berlaku kerana ia merupakan fitrah kehidupan.

Kehidupan pada hari ini tidak kira apa bidang sekalipun sama ada berfikir ke haluan kanan atau kiri, secara sedar atau tidak telah berevolusi dan berrevolusi mengikut fitrahnya iaitu tetap menuju perubahan.

Dahulu ada yang mabuk glamor dan bergelumbang dengan pelbagai kontroversi, tetapi sekarang sudah mula beralih kepada dunia yang lebih ke arah kerohanian. Namun pada masa sama tidak kurang yang semakin galak dengan sisi gelap.

Ada pulak golongan yang berasa bangga kerana berjaya meviralkan gambar dan kisah-kisah yang mengaibkan orang lain sebagai satu trending berlumba-lumba mencapai berapa ribu like.

Fitnah, hasad dengki dan maki-hamun sedang berleluasa umpama air terjun melalui laman-laman sosial oleh pelbagai golongan, tidak terkecuali juga golongan yang bergelar agamawan maupun golongan cerdik pandai.

Tanpa latar belakang pemahaman sesuatu isu atau dari sumber yang sahih, ramai yang terpengaruh dengan pelbagai ideologi sehingga terlupa tentang matlamat sebenar hidup ini.

Atas dasar kebebasan bersuara misalnya, banyak kata-kata keji dan nista telah dilontarkan walaupun di dalam rumah ibadat yang mulia sekalipun.

Manusia lebih percayakan Facebook, Tweeter, Instagram, blog, whatsApp, google dan sebagainya berbanding firmam Tuhan, kerana berlebihan masa berkiblatkan media sosial tersebut.

Zaman ini kita sentiasa terkeliru dan sukar membezakan antara yang benar dengan yang batil atau antara yang asli dengan yang palsu.

Situasi begini jika tidak ditangani secara berhemah dan tartib akan menyababkan perpecahan semakin teruk dikalangan masyarakat kerana masyarakat kita mengalami simptom fikiran bercelaru.

Masyarakat negara ini dalam apa jua bidang  sedang melalui fasa-fasa kecelaruan fikiran yang memerlukan dos-dos antitoksin yang tepat bagi meredakan kecelaruan itu daripada membarah.

Di luar sana, rakyat di beberapa buah negara sanggup berbunuhan disebabkan perbezaan ideologi politik.

Beberapa individu yang telah dijadikan kambing hitam semata-mata untuk membawa masuk fahaman baru yang lebih ekstrem dan liberal.

Atau sekurang-kurangnya ada yang sanggup menjadi Si Kitol semata-mata memenuhi agenda jahat pihak tertentu untuk meruntuhkan institusi kenegaraan.

Virus ini jika tidak dibendung, Institusi kekeluargaan, institusi kejiranan, institusi kemasyarakatan dan institusi kenegaraan berada di ambang bahaya kehancuran.



No comments:

Post a Comment

Blog Archive / Blog Arkib

LimkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...